Monday, August 30, 2010

1 Malaysia Menjana Transformasi Negara

"1 Malaysia Menjana Transformasi Negara" merupakan tema kemerdekaan negara Malaysia yang ke-53 yang disambut pada tahun ini..

Berikut saya sertakan Perutusan Kemerdekaan pada tahun ini yg ditulis oleh Perdana Menteri kita, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak :


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

1.    Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, esok, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-53.
2.    Dalam tempoh lebih lima dekad kemerdekaan, kita dapat menyaksikan pelbagai perubahan yang telah dialami tanah air tercinta. Dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, Malaysia telah tumbuh berkembang menjadi sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.
3.    Sesungguhnya, perubahan ini tidak datang bergolek atau ibarat bulan jatuh ke riba. Sebaliknya, kejayaan yang dinikmati adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang  kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan. Ia juga manifestasi keberanian dan kesanggupan kerajaan serta rakyat untuk meneroka jalan dengan langkah yang progresif.
4.    Sejarah memperistiwakan bahawa, bapa-bapa kita peneroka kepemimpinan negara, tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar mana pun cabaran yang melanda. Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat. Almarhum Tunku dan para sahabat misalnya tidak rela untuk terus menjadi warga negara terjajah. Allahyarham Tun Razak dan rakan-rakan pula tidak membiarkan Malaysia pasca tragedi 13 Mei hilang harapan. Allahyarham Tun Hussein dan taulan tidak bersimpuh menyerah, bahawa, keganasan komunisme tidak dapat ditewaskan. Manakala Tun Dr. Mahathir dan handai seperjuangan tidak mahu menerima kebijakan lazim bahawa sebuah negara pertanian tidak mampu berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden dengan infrastruktur berkelas dunia. Seterusnya Tun Abdullah pula, berusaha memupuk modal insan sebagai landas kejayaan negara bangsa.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
5.    Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo yang sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu-pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara. Hari ini, tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil  yang melampaui kebiasaan.
6.    Justeru, cabaran sebenar kita hari ini adalah untuk mentransformasikan Malaysia supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ke arah itu, kita telah pun  memasakkan asas-asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan atau GTP  dan pelan  transformasi ekonomi yakni ETP sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah  matlamat  mulia tersebut.
7.    Sememangnya, Malaysia yang aman, maju dan makmur akan mendatangkan nikmat kepada semua rakyat. Bagi maksud ini kita perlu menggembleng setiap bakat yang ada di kalangan rakyat Malaysia. Setiap seorang anak Malaysia adalah penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran dan kesejahteraan nasional.
8.    Lalu, sudah tiba masa kita memanfaatkan sepenuhnya bakat-bakat tempatan yang ada. Alangkah ruginya negara jika bakat-bakat yang kita latih dengan segala susah payah  berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang. Ini kerana fenomena globalisasi bukan sahaja  menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan tetapi juga  ia melibatkan pengaliran bebas modal insan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
9.    Di atas segalanya, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mestilah mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini. Teras perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum sepertimana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni rukun negara dan termaktub dalam perlembagaan persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.
10.    Kita tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan serta sikap melampau yang terjelma melalui isu-isu perkauman serta agama. Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada.
11.    Maka, saya yakin lagi percaya, semua rakyat Malaysia  cintakan keamanan, mahukan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
12.    Ketahuilah bahawa, kerajaan yang ada amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada dari ancaman dalam mahupun  luaran.
13.    Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan  dan di sinilah dengan takdir Tuhan kita akan bersemadi.
14.    Oleh itu, saya ingin menyeru semua warga Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke-53 ini untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik di mana yang mengehadkan kejayaan kita hanyalah bakat dan kesanggupan  untuk bekerja keras.
15.    Akhir kata, demi masa depan anak-anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, Janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat. Merdeka, Merdeka, Merdeka.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dato' Sri Mohd Najib
Putrajaya

30 Ogos 2010

No comments:

Post a Comment